Sunday, 9 April 2017

Pemerdagangan Manusia



AKADEMI PENGAJIAN ISLAM
DIPLOMA SYARIAH
ISLAMIYYAH (6A)

FIQH JINAYAT (SYR 3113)

TAJUK: PEMERDAGANGAN MANUSIA

MUHAMAD AMIR AZIZI BIN KAMARUL
BAHRIN
D1410296

PENSYARAH: USTAZ SUHAIMI BIN ABU HASAN


PENGHARGAAN


Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillah. Pertama sekali,  saya merafakkan sepenuh kesyukuran kehadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurnianya, dapat saya menyelesaikan tugasan kami ini dengan penuh jayanya. Saya menjulang sepenuh penghargaan kepada Ustaz Suhaimi Bin Abu Hasan, pensyarah mata pelajaran Fiqh Jinayat, atas kesudian beliau memberi tugasan ini kepada saya. Beliau juga banyak membantu saya sepanjang  proses pembentukan tugasan ini berlaku. Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada ibu bapa saya kerana tidak pernah jemu mendorong dan sentiasa memberi galakan sepanjang menyiapkan tugasan ini. Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan yang banyak membantu saya secara langsung  atau tidak langsung sepanjang  proses merealisasikan tugasan ini berjalan. 

Sejajar dengan era globalisasi kini para mahasiswa haruslah menyelidik dan mengambil tahu tentang isu-isu semasa pada masa kini. Supaya dapat membuka mata bagi mengambil pengajaran dan menambah ilmu pengetahuan supaya tidak leka dengan arus permodenan. Sekali lagi saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak. Sekian, terima kasih.


PENGENALAN

Dalam meniti arus kemodenan yang berteraskan sains dan teknologi maklumat ini, terdapat beberapa isu yang sedang hangat diperkatakan di media massa mahupun dibibir masyarakat tempatan. Namun demikian, terbit satu isu yang kian membimbangkan serta lebih memberikan tekanan kepada masyarakat global iaitu jenayah pemerdagangan manusia. Jenayah pemerdagangan orang telah dianggap sebagai satu bentuk perhambaan dan bentuk ancaman terhadap hak asasi dan keselamatan manusia. Pemerdagangan orang dapat ditakrifkan sebagai perdagangan atau perniagaan yang melibatkan pergerakan atau migrasi manusia secara haram,  termasuk aktiviti buruh secara sah dan secara paksa.
Berdasarkan  laporan yang dikeluarkan oleh Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) menyatakan bahawa jenayah pemerdagangan orang talah mengaut keuntungan sebanyak USD 44.3 bilion setahun selepas jenayah senjata api dan dadah. Isu pemerdagangan ini berlaku ekoran daripada permintaan terhadap tenaga buruh yang tinggi, perkhidmatan seksual, jeratan hutang dan kemiskinan. Pada kebiasaannya,  mangsa yang terlibat biasanya tidak diberi sebarang pilihan dan tidak dapat melaporkan penderitaan mereka akibat daripada kawalan ketat oleh sindiket-sindiket tertentu. Negara-negara miskin dan negara yang mempunyai populasi penduduk  yang ramai sering menjadi mangsa seperti China, Indonesia, Sri Lanka dan sebagainya.  Manakala hasil kajian mendapati Malaysia khususnya Sabah adalah destinasi persinggahan untuk wanita dan kanak-kanak diperdagangkan untuk eksploitasi seks secara komersial manakala lelaki dijadikan sebagai buruh paksa.[1]

Pendidikan amat penting kepada semua golongan tidak kira yang muda mahupun yang sudah berusia lebih-lebih lagi pada zaman serba moden ini. Kita mestilah keluar dari takuk lama agar tidak ketinggalan zaman serta dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran yang acap kali berubah mengikut peredaran masa. Peri pentingnya, pendidikan kerana dengan adanya pendidikan dapat mengelakkan kita daripada ditipu dengan sewenang-wenangnya oleh golongan yang suka mengambil kesempatan. Jadi, jelaslah bahawa setiap individu mestilah berhak untuk mendapatkan pendidikan demi menjamin masa depan.

PENDAHULUAN

Isu pemerdagangan manusia bukanlah suatu isu yang baru timbul di negara ini. Kegiatan pemerdagangan manusia bukan sahaja bersalahan dengan ideologi negara Malaysia, malahan ianya adalah bertentangan dengan norma-norma masyarakat antarabangsa, juga undang-undang Islam dan prinsip Syariah. Kegiatan haram ini berlaku di kebanyakan negara maju. Malaysia juga tidak terkecuali daripada aktiviti 'perhambaan alaf baru' ini yang tidak jauh bezanya dengan bentuk perhambaan yang berlaku di zaman Arab Jahiliyah. Fenomena ini dilihat kian berleluasa dan menjadi polemik sekaligus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat negara Malaysia sendiri. Malahan, fenomena ini secara tidak langsung memberikan perspektif negatif orang ramai terhadap kawalan keselamatan di pintu-pintu sempadan oleh pihak berkuasa berkaitan. [2]

Pemerdagangan manusia melibatkan pergerakan atau migrasi sama ada individu atau kelompok manusia melalui cara yang tidak sah di sisi undang-undang bagi tujuan tertentu seperti aktiviti buruh paksa dan perhambaan seks. Fenomena ini menimbulkan kegusaran kerana ianya merupakan suatu jenayah malahan mempunyai aktanya yang tersendiri yang digunapakai dan menjadi rujukan dalam menangani isu-isu yang timbul, iaitu Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007. Kewujudan akta ini sekali gus menggambarkan keperluan isu ini untuk ditangani segera.[3]

Pemerdagangan manusia adalah satu bentuk perdagangan atau perniagaan yang melibatkan beberapa aspek seperti migrasi manusia secara haram, aktiviti buruh secara sah atau mengandungi unsur paksaan. Istilah ini digunakan dalam konteks lebih sempit oleh kumpulan-kumpulan penyokong dengan merujuk kepada aktiviti pemerdagangan manusia melalui kaedah pengrekrutan, pengangkutan, perlindungan atau pengambilan manusia bagi tujuan seperti perhambaan, pelacuran, buruh paksa dan perjualan organ tubuh manusia. Pengeksploitan pemerdagangan manusia termasuk pemaksaan melakukan pelacuran atau eksploitasi seks, buruh paksa dan bentuk-bentuk pengamalan yang boleh disifatkan sebagai satu bentuk perhambaan[4].

DEFINISI PEMERDAGANGAN MANUSIA

Takrifan mengenai istilah pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran di Malaysia boleh dilihat daripada peruntukan yang terkandung di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007. Seksyen menerangkan dengan jelas mengenai pengertian istilah tersebut serta elemen-elemen yang diguna pakai dalam melaksanakan jenayah pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran.

Kamus Fajar memberikan definisi ‘trafficking’ sebagai satu bentuk perdagangan yang tidak sah di sisi undang-undang dan dianggap sebagai perbuatan yang tidak bermoral. Oleh yang demikian, mana-mana pihak yang terlibat dalam jenayah ini dianggap telah melakukan perbuatan yang salah bukan sahaja dari sisi undang-undang, malahan dari perspektif moral yang membolehkan pesalah dihukum mengikut peruntukan undang-undang yang ada oleh pemerintah sesebuah negara.

Selain itu, pemerdagangan manusia juga didefinisikan sebagai segala perbuatan yang melibatkan sebarang bentuk perolehan atau mengekalkan tenaga kerja atau perkhidmatan seseorang individu, sama ada melalui cara paksaan, termasuklah perbuatan merekrut, mengangkut, memindahkan, melindungi, menyediakan atau menerima seseorang. Peruntukan yang jelas mengenai takrifan pemerdagangan manusia ini boleh dilihat dibawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran 2007, iaitu :

Seksyen 12 :
"Mana-mana orang yang memperdagangkan orang yang bukan seorang kanak-kanak, bagi maksud eksploitasi, melakukan suatu kesalahan dan hendaklah, apabila disabitkan, dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi lima belas tahun, dan boleh juga didenda."

Seksyen 14 :
"Mana-mana orang yang memperdagangkan orang yang merupakan seorang kanak-kanak, bagi maksud eksploitasi, melakukan suatu kesalahan dan hendaklah, apabila disabitkan, dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada tiga tahun tetapi tidak melebihi dua puluh tahu, dan boleh juga didenda."

Seksyen 15 :
"Mana-mana orang yang mendapatkan keuntungan daripada pengeksploitasian orang yang diperdagangkan melakukan suatu kesalahan dan hendaklah, apabila disabitkan, dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi lima belas tahun, dan boleh juga didenda tidak melebihi satu juta ringgit dan boleh juga dilucuthakkan keuntungan daripada kesalahan itu."[5]

Persidangan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (Nombor 49/166) pula menjelaskan definisi (trafficking) sebagai pergerakan oleh seseorang secara haram dan rahsia bagi melepasi mana-mana sempadan, sama ada di dalam mahupun luar negara yang bertujuan untuk menindas dan mengeksploitasi mangsa sama ada dalam bentuk seksual atau ekonomi demi kepentingan pihak perekrut (agen) semata-mata.[6]

Hakikat pemerdagangan yang sebenarnya berlaku di nagara Malaysia adalah seperti yang di nyatakan di dalam Akta Pemerdagangan dan Penyeludupan. Antara aspek lain yang dinyatakan di dalam temu bual bersama Timbalan Pengarah Imigresen Malaysia Tuan Zainal ia adalah hakikat dalam kehidupan mereka yang menjadi percaturan dagangan. Pada asalnya mereka datang ke Malaysia dengan lengkap berdokumen dan mempunyai niat yang baik untuk mencari sumber mata pencarian di Malaysia yang mana mereka di janjikan oleh individu mahupun lebih di kenali sebagai Tekong untuk mendapatkan kerja yang baik seperti kedai makan dan kebanyakannya adalah kerja kilang. Tapi malangnya ia nya sekadar satu umpan bagi aktiviti perdagangan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Mereka dipaksa, didera dan akhirnya pekerjaan yang teruk terpaksa di lakukan yang mana akhirnya mendjadi paksa rela melakukannya tanpa mengingkarinya. Ia juga dikenali sebagai ATIP iaitu anti pemerdagangan orang.

BENTUK  PEMERDAGANGAN MANUSIA DAN PENYELUDUPAN MIGRAN

Jenayah pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran membawa kepada pengeksploitasian terhadap mangsa dengan cara yang pelbagai. Mangsa terpaksa hidup dengan cara yang telah ditentukan oleh pemangsa walaupun ianya boleh dikategorikan sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan.

1.        Eksploitasi Seks
Kegiatan pelacuran dan perdagangan seks merupakan agenda utama para agen atau pemerdagang dalam jenayah yang dilakukan. Kebanyakan mangsa pada awalnya akan disajikan dengan pelbagai janji manis sehingga mereka mempercayai apa yang dikatakan. Malahan, mereka dikaburkan dengan angan-angan palsu mengenai pendapatan yang tinggi yang mampu mengubah cara hidup mereka selama ini untuk menjadi lebih baik dan menyenangkan. Hakikatnya, setelah sampai ke negara yang dijadikan sasaran, mereka dipaksa untuk melakukan perhubungan terlarang dan seterusnya terpaksa menjadi hamba seks tanpa sebarang bantahan disebabkan oleh ugutan atau ancaman yang lebih besar. Golongan yang kebiasaannya menjadi mangsa eksploitasi seks ini ialah wanita.[7]
Lebih menyedihkan, apabila pusat-pusat pengajian tinggi dijadikan medium jenayah mereka dengan menggunakan visa pelajar asing sebagai akses untuk membolehkan golongan wanita ini dibawa masuk dan akhirnya dipaksa untuk menjual diri sekali gus terlibat dalam perdagangan seks tanpa kerelaan mangsa.[8]


2.             Pemindahan Organ
Kegiatan pemindahan organ kini dilihat semakin pesat. Aktiviti perdagangan yang melibatkan jualan organ secara haram dilihat semakin berleluasa disebabkan permintaan yang tinggi bagi menjalani pembedahan serta prosedur penggiliran yang memakan masa pihak yang ingin menjalankan pembedahan melibatkan organ. Kebiasannya kegiatan haram ini mendapatkan sumber organnya daripada penduduk di negara-negara yang  miskin dan mundur dengan cara penyeludupan haram atau dengan mengeksploitasi mangsa dari dalam negara.
Aktiviti haram ini sememangnya memberikan keuntungan yang cukup tinggi di peringkat antarabangsa. Hal ini dapat dilihat berdasarkan kajian Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) yang menganggarkan bahawa 10 peratus daripada 70 ribu buah pinggang yang dipindahkan dalam tempoh masa setahun mungkin berasal daripada pasaran gelap.[9]

3.             Pengedar Dadah
Isu berkaitan dadah ini sememangnya sesuatu yang sering diperkatakan tanpa ada penghujungnya. Sindiket haram ini mendedahkan bahawa wanita sememangnya dijadikan mangsa bagi mengedar dan memperdagangkan dadah bagi kepentingan pihak pemerdagang itu sendiri. Wanita akan dijadikan sebagai orang perantara yang membawa atau mengedarkan dadah dari satu tempat ke satu tempat lain yang telah dipersetujui oleh pihak penerima. Dalam erti kata yang lain, mereka dijadikan 'kambing hitam' oleh penjenayah yang sebenar. Golongan wanita dipilih oleh penjenayah kerana mereka sangat mudah diperdayakan dan mudah dikawal memandangkan keadaan fizikal serta kudrat mereka sendiri yang sememangnya lemah. Antara modus operandi yang biasa dilakukan bagi melaksanakan kegiatan jual beli dadah ini adalah dengan menelannya.[10]

4.             Buruh Paksa
Mangsa yang diseludup oleh penjenayah secara haram juga akan menjadikan mereka sebagai buruh yang terikat. Oleh yag demikian, mereka terpaksa melakukan kerja-kerja secara paksaan. Mereka terpaksa melakukannya disebabkan ugutan penjenayah untuk menyerahkan mereka kepada pihak berkuasa sekiranya tidak melakukan kerja-kerja sebagaimana yang dikehendaki oleh penyeludup tersebut. Bukan sahaja berdepan dengan ugutan dan kerja paksaan, malahan gaji yang diperolehi juga berada dalam kawalan atau milikan penyeludup tersebut. Hal ini secara jelasnya menggambarkan tindakan memanipulasi mangsa secara total tanpa ihsan.
Selain itu, mangsa kebiasaannya terdiri daripada migran asing dari kalangan wanita dan kanak-kanak yang direkrut oleh penjenayah dari negara-negara yang kurang membangun seperti Asia Tenggara dan Afrika. Selain dipaksa bekerja sebagai buruh tanpa gaji, golongan wanita kebiasaannya diarahkan untuk menjadi pembantu rumah. Manakala kanak-kanak akan dieksploitasi dengan menjadikan mereka pengemis di jalanan.
Kebanyakan pendatang asing yang bekerja di Malaysia terdiri daripada pekerja separa mahir dan tidak mahir. Mereka datang dari negara yang mengalami lebihan penawaran buruh seperti Indonesia, Filipina, Bangladesh, Vietnam dan Kemboja.

FAKTOR-FAKTOR BERLAKUNYA  PEMERDAGANGAN MANUSIA


Setelah dikaji serta diperhatikan mendalam terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada berlakunya isu pemerdagangan manusia seantero dunia. Antara yang utama ialah terdapatnya unsur rasuah dalam kalangan pegawai kerajaan  menyebabkan isu ini sukar ditangani walaupun beberapa usaha telah dilaksanakan. Pegawai kerajaan yang tidak jujur dalam pekerjaannya dan mudah menerima rasuah sering kali dimanfaatkan oleh para sindiket pemerdagangan orang ini untuk menjalankan aktiviti mereka tanpa sebarang kesulitan. Contohnya, pegawai imigresen yang menjaga sempadan negara akan melepaskan ejen-ejen sindiket tersebut  jika disertakan dengan sejumlah wang. Mereka secara automatiknya akan memberikan laluan kepada sindiket ini tanpa memikirkan kesan atas perbuatan yang tidak bermoral itu kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.[11]

Di samping itu, faktor jenayah pemerdagangan manusia juga terjadi disebabkan oleh jurang ekonomi antara negara-negara jiran yang jelas ketara. Masyarakat  yang tinggal di negara yang miskin dan mempunyai lebihan penduduk sudah tentu ingin mengubah nasib hidup mereka dengan bekerja di negara-negara maju tetapi kekurangan pekerja. Namun begitu terdapat pihak yang kejam telah mengambil kesempatan terhadap golongan yang ingin mengubah nasib hidup mereka dengan menabur janji-janji manis seperti akan menyediakan tempat tinggal, suasana yang harmoni serta pekerjaan yang baik tetapi indah khabar daripada rupa. Impian yang diharapkan oleh masyarakat yang bertekad untuk mengubah kehidupan mereka hancur berkecai apabila mereka terpaksa menjadi hamba  dan buruh kasar. Jadi sudah terbukti bahawa jurang ekonomi juga merupakan salah satu faktor kepada isu pemerdagangan manusia.

Tahap kesedaran rakyat terhadap isu pemerdagangan manusia yang rendah juga menyumbang kepada berleluasanya isu ini. Kehidupan rakyat yang bagaikan katak dibawah tempurung juga merupakan pemangkin kepada permasalahan tanpa nokhtah ini.  Kini, majoriti rakyat tidak kira dimana sahaja mereka menetap bersikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing menyebabkan isu ini bertambah rumit dari hari ke hari. Sesetengah rakyat bersikap acuh tak acuh dengan persekitaran mereka  misalnya melihat pengemis kanak-kanak yang cacat tetapi tidak mengambil sebarang tindakan yang drastik iaitu melaporkan hal tersebut kepada pihak berkuasa agar mereka menyiasat adakah kanak-kanak itu merupakan mangsa pemerdagangan manusia ataupun tidak. Jika telah dibuktikan bahawa kanak-kanak tersebut merupakan mangsa tindakan yang pragmatik dan drastik mestilah diambil dengan segera agar masalah itu tidak berlarutan. Perkara yang berlaku adalah sebaliknya kerana rakyat tidak mempedulikan isu ini menyebabkan perkara ini terus berleluasa. Sikap keprihatinan rakyat juga mampu mengubah serta mengurangkan masalah ini.[12]

Seterusnya, faktor yang paling dominan adalah pertumbuhan ekonomi Malaysia yang sangat pesat menyumbang kepada berlakunya aktiviti jenayah ini. Permintaan guna tenaga buruh yang tinggi di Malaysia oleh para majikan tempatan kerana memerlukan pengeluaran perbelanjaan yang murah sahaja. Rakyat asing yang tertarik untuk datang ke Malaysia kerana telah dijanjikan pekerjaan serta gaji yang lumayan. [13]Namun pada hakikatnya indah khabar daripada rupa apabila janji-janji manis yang ditaburkan oleh agen-agen sindiket hanyalah rekaan semata-mata demi memujuk mangsa untuk ke Malaysia bagi tujuan pemerdagangan. Mangsa-mangsa dipaksa untuk melakukan aktiviti yang tidak disisi undang-undang seperti menjadi pelacur, pengemis jalanan dan sebagainya. Maka, pertumbuhan pesat ekonomi Malaysia telah membuatkan warga asing untuk datang dan bekerja di sini.[14]
Di samping itu, punca yang menyebabkan pemerdagangan manusia ini adalah disebabkan oleh kerakusan sikap manusia yang ingin mengaut keuntungan yang besar dengan cara yang mudah. Kebanyakkan penjenayah yang terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia ini merupakan manusia yang tidak berhati perut malahan hanya berfikir mengenai ganjaran lumayan yang akan mereka dapat sekiranya  berjaya membawa masuk sekumpulan mangsa-mangsa yang akan diperdagangkan. Agen-agen sindiket ini sememangnya tidak pernah berpuas hati serta tidak takut akan hukuman yang akan dikenakan sekiranya mereka tertangkap. Apabila mereka berjaya melepasi sempadan negara tanpa dikesan oleh pihak berkuasa, mereka akan  meneruskan lagi aktiviti mereka ini tanpa serik. Hal ini adalah kerana keuntungan yang mereka dapat apabila berjaya melaksanakan tugasan dengan baik tanpa tertangkap. Jadi, jelaslah bahawa aktiviti pemerdagangan manusia akan bertambah dari hari ke hari sekiranya  jenayah ini tidak dibendung dengan segera kerana aktiviti ini memberikan ganjaran yang lumayan kepada agen-agen sindiket yang terlibat.[15]

HUKUM PEMERDAGANGAN MANUSIA


Daripada Abu Hurairah R.Anha, SabdaRasulullah SAW, firman Allah dalam hadis qudsi,


ثَلاثةﹲ أنا خَصْمُهُم يَْوم القيامة ومَن كُنتُ خَصْمَه خَصَمْتُهُ رَجُلﹲ أَعطَى بِيَ العَهْدَ ثم غَدَرَ
ورَجُلﹲ باعَ حراً فأكَلَ ثَمْنَهُ ورَجُلﹲاستَأجَرَ أجيراً فاسْتَوفىَ منه ولم يُعْطِهِ أَجْرَه

Maksudnya: Tiga golongan Aku memusuhi mereka dan siapa yang Aku musuhinya nescaya Aku kalahkannya. Lelaki yang memberi bai’ah denganKu kemudian dia memungkirinya. Lelaki yang menjual orang yang merdeka kemudian dia makan harganya dan lelaki yang mengupah seseorang sedangkan orang itu melaksanakan tugasnya kemudian dia tidak membayar upahnya.[16]

Riwayat Bukhari, Ahmad dan lain-lain

 Syarah hadis:

Al-Muhallab berkata: Sesungguhnya besarnya dosa bagi siapa yang menjual orang yang merdeka. Ini kerana semua orang Islam sama sahaja dari sudut kehormatan dan zimmahnya. Sebenarnya orang Islam terhadap orang Islam yang lain hendaklah menolongnya bukan menzaliminya, menasihatinya bukan mengambil kesempatan keatasnya. Justeru tidak ada kezaliman yang lebih besar daripada menjadikan seseorang itu hamba atau membawa kearah itu. Siapa yang menjual orang yang bebas dan merdeka sebenarnya dia telah melakukan perbuatan yang Allah tidak izinkan dan akan membawa kepada kehinaan. Ini termasuk dosa besar.

Ibn Al-Munzir berkata: Setiap yang aku bertemu di kalangan ulama mereka berpendapat, siapa yang menjual lelaki yang merdeka sebenarnya ia tidaklah dipotong tangan dan hanya dikenakan hukuman.

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma berkata: Penjualan tersebut terbatal dan kedua-duanya penjual dan pembeli dikenakan hukuman.

Diriwayatkan daripada Jallas daripada Ali RA bahawa beliau berpendapat: Hendaklah dipotong tangan penjual orang yang merdeka.

Tetapi pendapat yang kuat adalah pendapat ramai di kalangan ulama, iaitu penjual tersebut tidak dianggap pencuri dan tidak harus dipotong tangannya. Lihat Syarah Sahih Bukhari oleh Ibn Battal, 6/349.

Bagaimana mungkin manusia yang wajib dipelihara haknya untuk hidup dan dimuliakan seperti firman Allah:


وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُمْ مِنْ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَى كَثِيرٍ مِمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلاً

Surah Al-Isra’: 70

Maksudnya: “Dan Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda Yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka Dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk Yang telah Kami ciptakan.”

Ayat ini menunjukkan karamah insaniah daripada Allah yang mengurniakan pelbagai keistimewaan dengan akal fikiran, petunjuk hidayat, rupa bentuk, dan pelbagai yang lain sehingga layak menjadi kalifah Allah di muka bumi. Justeru, merendahkan martabat seseorang manusia yang lain dengan menjual dan memperdagangkannya adalah satu jenayah dan pelanggaran hak-hak asasi manusia serta menyalahi nas yang sahih lagi sarih.[17]
Kenyataan Mufti Wilayah :
Kami nyatakan dengan tegas bahawa sikap memperdagangkan manusia adalah perbuatan yang amat besar dosanya bahkan dianggap sebagai jenayah oleh undang-undang antarabangsa. Ingatlah, tatkala kita memperdagangkan manusia betapa kita telah menafikan hak kebebasannya sehingga keadaan orang tersebut dilihat lebih hina daripada haiwan. Natijah dari tamak haloba, mereka lupa dosa dan pahala tetapi matlamatnya hanya laba dan keuntungan semata-mata. Bagaimana perasaan orang yang didagangkan, keluarganya dan keseluruhan yang mengenalinya. Sudah tentu merasa hina, tercabar dan amat sedih. Justeru, sebagai seorang Islam, atau sebagai seorang manusia yang mempunyai sifat insani hendaklah menjarakkan diri dan mencegah yang lain daripada memperdagangkan manusia.
Memandangkan masalah pemerdagangan orang adalah merupakan satu isu yang dianggap baru di Malaysia, orang ramai termasuk agensi Kerajaan, pihak swasta dan badan bukan Kerajaan (NGO) tidak begitu menyedari bahaya jenayah ini dan implikasinya kepada keselamatan negara dan hak asasi manusia. Sehubungan itu, program kesedaran awam perlu dilancarkan dan maklumat disebarkan seluas mungkin melalui pelbagai bentuk komunikasi. Usaha-usaha untuk mencegah dan membanteras jenayah ini memerlukan kerjasama dan sokongan semua sektor termasuk penyertaan masyarakat umum. Adalah juga penting untuk program kesedaran tersebut dikoordinasi serta mengambil pendekatan pelbagai sektor yang melibatkan agensi Kerajaan, badan bukan Kerajaan (NGO), pertubuhan- pertubuhan antarabangsa dan kumpulan-kumpulan komuniti supaya tindak balas secara kolektif dan positif dapat diperolehi.Terima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana menerbitkan sebuah manual Pelan Tindakan Kebangsaan Anti Pemerdaganagn Orang (2010-2015) sebagai objektif pelan tindakan kebangsaan dalam menangani isu ini.Semoga Malaysia bebas daripada pemerdagangan manusia. Tahniah kepada kerajaan Malaysia yang bersungguh-sungguh membanteras pemerdagangan manusia.[18]
Laporan Khas Tentang Hukum Pemerdagangan Manusia:
PUTRAJAYA 10 Sept. - Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan bahawa sebarang bentuk memperdagang dan mengeksploitasi manusia adalah menyalahi hukum syarak dan haram.
Setiausahanya yang juga Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Othman Mustapha menegaskan, kegiatan itu sangat ditegah dalam Islam kerana manusia ialah makhluk yang amat dimuliakan oleh Allah.
Jelasnya, Allah tidak menciptakan setiap hamba-Nya untuk menjadi hamba kepada manusia yang lain kecuali hamba kepada-Nya sahaja.
"Dalam Islam tiada konsep jual manusia kerana ia tidak dibenarkan, bahkan sejak kedatangan Nabi Muhammad SAW kegiatan perhambaan ketika itu juga telah dihapuskan.
"Justeru sebarang pemerdagangan manusia yang melibatkan pelbagai eksploitasi seperti pelacuran dan perhambaan adalah bercanggah dengan kemuliaan dan konsep khalifah yang disyariatkan oleh Allah," katanya ketika dihubungi di sini. Menurut Othman, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Kali ke-95 yang bersidang pada 16 hingga 18 Jun lalu telah membincangkan hukum pemerdagangan manusia.
Anggota majlis, katanya, memutuskan Islam menegah aktiviti pemerdagangan manusia kerana mendatangkan kemudaratan dan kesan buruk yang banyak kepada agama, masyarakat dan negara.

Tambah Othman, masyarakat juga perlu menjauhkan diri daripada sebarang kegiatan pemerdagangan orang walaupun hanya bertindak sebagai 'orang tengah' menyeludup dan membawa mangsa kepada majikannya.
"Hukumnya adalah jelas iaitu haram walaupun hanya bersubahat kerana mereka tetap terlibat dalam aktiviti itu.
"Justeru, penerangan berkaitan hukum pemerdagangan orang perlulah diperluaskan terutamanya di kawasan-kawasan pedalaman dan sempadan negara kerana aktiviti ini banyak berlaku di sana supaya masyarakat sedar aktiviti ini haram dan boleh mengancam keselamatan negara," katanya.[19]

KESAN PEMERDAGANGAN MANUSIA

Jenayah pemerdagangan manusia ini menimbulkan pelbagai impak negatif bukan saja kepada individu tertentu, malahan terhadap masyarakat dan negara secara keseluruhannya. berbagai-bagai lagi masalah lain yang timbul disebabkan mangsa-mangsa jenayah ini.


1. Ancaman Keselamatan
Kehadiran pendatang asing tanpa izin yang membanjiri tanah air dengan cara yang tidak sah membawa kepada pelbagai masalah terutama dari sudut ancamannya terhadap kesejahteraan dan kepentingan awam di negara ini. Hal ini demikian kerana golongan ini dilihat terlibat dan menjurus kepada aktiviti atau kegiatan yang membahayakan penduduk tempatan dengan meningkatnya kadar jenayah seperti merompak, membunuh, pecah rumah dan pelbagai jenayah lain yang semestinya menjadikan penduduk tempatan di negara ini sebagai sasaran utamanya. Hal ini dapat dibuktikan melalui statistik  yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Dalam Negeri sendiri iaitu sebanyak 14 809 daripada 37 446 banduan di Malaysia merupakan pendatang asing yang kebanyakannya terdiri daripada Pendatang Asing Tanpa Izin ( PATI). [20]

2.  Ancaman Sosial
Selain aspek keselamatan, kehadiran PATI tanpa izin ini dilihat sebagai satu ancaman berbahaya dari aspek sosial negara, terutama dari sudut kesihatan. Ancaman ini berlaku disebabkan golongan ini kebiasaannya datang daripada negara yang mundur dan kurang menitikberatkan aspek kesihatan. Oleh sebab itu, kemungkinan bahawa mereka tidak menjalani ujian kesihatan sebelum dibawa masuk secara haram ke negara ini adalah sangat tinggi memandangkan proses untuk menjalani ujian kesihatan bukan sahaja memakan masa, malahan melibatkan kos yang tidak mungkin ingin ditanggung oleh pihak yang merekrut atau pihak yang menguruskan penyeludupan masuk mereka ke negara ini. Keadaan ini mengakibatkan penanggungan risiko yang tinggi terhadap rakyat tempatan untuk dijangkiti penyakit berbahaya dan berjangkit seperti HIV. Hal ini dapat dibuktikan melalui perangkaan kerajaan yang mengumumkan bahawa sebanyak 30 peratus daripada 337 ribu pekerja asing telah dijangkiti HIV pada tahun 1992. Di samping itu, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan telah mendedahkan bahawa 80 peratus pekerja asing di sektor perladangan telah dikesan sebagai pembawa virus HIV berdasarkan kepada analisis dan pemerhatian yang dilakukan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).[21]

LANGKAH-LANGKAH MENGATASI PEMERDAGANGAN MANUSIA

1. Penguatkuasaan Undang-Undang
Langkah serius kerajaan menangani isu pemerdagangan orang telah menaikkan taraf Malaysia ke tahap (TIER) 2 ( Dalam Pemerhatian) daripada tahap 3 dalam laporan pemerdagangan orang amerika syarikat (TIP) 2010. Laporan TIP adalah senarai kedudukan Negara-negara dunia berdasarkan tahap pematuhan standard minimum dalam memerangi pemerdagangan orang. Pencapaian TIP adalah berdasarkan standard minimum dalam memerangi pemerdagangan orang. Pencapaian TIP adalah berdasarkan kepatuhan Negara menerusi akta perlindungan pemerdagangan dan kegansan (TVPA) Amerika syarikat. Menurut klasifikasi antarabangsa, tahap satu merujuk kepda Negara yang melakukan pematuhan sepenuhnya dan tahap dua bagi usaha signifikan untuk memnuhi TVPA. Manakala tahap tiga pula bermaksud sebagai Negara yang tiada usaha untuk mematuhi standard minimum TVPA.[22]
2. Kerjasama Dengan Negara Jiran
Malaysia dan Australia baru-baru ini juga telah bersepakat untuk meningkatkan kerjasama bagi membanteras sindiket penyeludupan manusia melalui kaedah diplomatik dan operasi yang lebih berkesan kepada Negara-negara jiran seperti singapura, Indonesia, Thailand dan lain-lain juga wajar mewujudkan kerjasama serantau, perkongsian bijak terutamnaya kekuatan teknologi, komunikasi dan jaringan keselamatan. Dengan kerjasama yang dapat dilaksanakan ini kita dapat untuk membanteras segala masalah pemerdagangan manusia yang semakin berleluasa ini. Jadi ini sekaligus menunjukkan bahawa kerjasana sesame Negara serantau ini untuk membenteras sebarang jenayah akan lebih memudahkan dan mampu untuk diselesaikan dengan sebaiknya.
3. Kempen Kesedaran
Pihak yang bertanggunjawab harus memainkan peranan mereka dalam menagani masalah pemerdagangan manusia walaupun dengan pelbagai cara sekalipun. Contohnya dengan menjalankan kempen kesedaran, ini sekaligus akan meberi kesedaran kepada masyarakat tentang semakin berleluasa masalah pemerdagangan manusia ini, kempen boleh dijalankan menerusi media massa yang perlu dijalankan dari semasa ke semasa. Dengan adanya kempen sebegini menyebabkan masyarakat akan mengetahui bahawa banyak kesan yang akan diterima daripada jenayah pemerdagangan orang ini. Tambahan lagi, dengan kempen kesedaran ini juga sekaligus dapat menggalakkan masyarakat untuk membanteras masalah ini daripada terus berleluasa yang boleh memberi impak bukan sahaja kepada inidvidu itu sendiri malah kepada Negara juga. [23]

PENUTUP

Kesimpulannya, kerjasama daripada pelbagai pihak sama ada yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung merupakan jalan penyelesaian yang paling efektif yang patut dipraktikkan bagi mengatasi masalah ini daripada terus menular dalam negara kita. Janganlah kita menjadi masyarakat yang hanya mementingkan diri sendiri   dan menyerahkan tugas mengekang masalah ini kepada pihak berkuasa sahaja tanpa membantu bak kata pepatah “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing” jadi marilah bersama-sama mengerah tenaga bagi membanteras jenayah ini agar tiada lagi golongan yang akan diperdagangkan. Kita haruslah bertindak dengan segera agar nasi tidak menjadi bubur. Kerjasama yang jitu serta semangat yang berkobar-kobar merupakan pemangkin utama kejayaan kita semua dalam mengatasi masalah ini.  Semoga dengan penyifaran jenayah pemerdagangan manusia, kita dapat menzahirkan Wawasan 2020 dan duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain di dunia.
Hendaklah kesemua masyarakat mengambil kesedaran. Supaya agama dapat dijaga dan negara bertambah makmur. Rasulullah SAW turut bersabda di dalam hadis baginda yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
إن الله يعذب الذين يعذبون الناس في الدنيا
“Sesungguhnya Allah akan mengazab mereka yang mengazab atau menzalimi manusia di dunia”.
Makanya janganlah kita sesekali menzalimi diri sendiri atau orang lain.


RUJUKAN
1. Al-Quran
2. Abdul Mukti bin Baharudin, Hajah Makiah Tussaripah bt Jamil, Pendekatan Syariah dalam      Menangani Jenayah Pemerdagangan Manusia, KUIS, UiTM Negeri Sembilan.
3. Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 607)
4. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Portal Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuaan. 2011. Pemindahan Organ dari Perspektif Islam. Putrajaya: Kementerian Kesihatan Malaysia.
5. Jabatan Penerangan Malaysia http://www.penerangan.govmy/
6. Jamal A. Badawi. 2008. Kedudukan Wanita dalam Islam. Terj. Ummu Abdullah. Jakarta: Maktabah raudahtul muhibbin
7. Kementerian dalam Negeri http://www.moha.gov.my/ dan www.utusan.com.my/
8. Md Akhir Hj Yaakob. 1996. Undang-Undang Sivil Islam. Selangor : Dewan Pustaka Islam.
9. Wan Marzuki. “Kebanjiran Pendatang Tanpa Izin Perlu Kawalan Drastik” Utusan Malaysia, 8 Julai, 2008.
10. Zafirah Najmi Abdul Rahman. Banteras Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran, Bahagian Penerbitan Dasar Dalam Negara.
11. The Hole karya Sabrang.



[1] Laporan Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO)

[2] Abdul Mukti bin Baharudin, Hajah Makiah Tussaripah bt Jamil, Pendekatan Syariah dalam Menangani Jenayah Pemerdagangan Manusia, KUIS, UiTM Negeri Sembilan.
[3] Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007
[4] Asmah Hj. Umar, 2013 ,Pemerdagangan Manusia dan Migran
[5] Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan
[6] Abdul Mukti bin Baharudin, Hajah Makiah Tussaripah bt Jamil, 2006, Pemerdagangan orang Dan Akibatnya
[7] Jamal A. Badawi. 2008. Kedudukan Wanita dalam Islam. Terj. Ummu Abdullah. Jakarta: Maktabah raudahtul muhibbin
[8] Utusan Online www.utusan.com.my
[9] The Hole karya Sabrang m/s 23
[10] Abdul Mukti bin Baharudin, Hajah Makiah Tussaripah bt Jamil, 2006, Pemerdagangan orang Dan Akibatnya

[11] Artikel Usaha Malaysia Menghapuskan Pemerdagangan Manusia
[12] Nur Aziemah,2013 Globalisasi dan Fenomena Pemerdagangan Manusia
[13] Portal Rasmi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia
[14] Wan Marzuki. Kebanjiran Pendatang Tanpa Izin Perlu Kawalan Drastik Utusan Malaysia, 8 Julai, 2008.
[15] Siti Zulaikha, 2015, Isu Pemerdagangan Orang di Malaysia
[16] Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
[17] Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
[18] Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
[19] Utusan Online Arkib 11/09/2011
[20] Laman Web Rasmi Kementrian Dalam Negeri
[21] Analisis Agensi Anti Dadah Kebangsaan
[22] Zafirah Najmi Abdul Rahman. Banteras Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran, Bahagian Penerbitan Dasar Dalam Negara.
 [23] Siti Zulaikha, 2015, Isu Pemerdagangan Orang di Malaysia